Kebetulan. Mencuba sesuatu yang baru di mana mendatangkan manfaat, adalah sesuatu yang mengembirakan! ~V.N.A~
Gara-gara mengejar masa, tanganku begitu cepat mencapai bungkusan itu tanpa meneliti dengan pasti. Oleh kerana bungkusan yang sama, warna yang serupa maka aku begitu yakin mengusungnya ke kaunter pembayaran bersama-sama barang-barang dapur yang lain. Begitulah titik tolak perkenalanku bersama Angel Hair dalam diari dapur.
Sebenarnya, aku inginkan pasta spagetti. Kuah spagetti ketika itu sudah siap suamiku sediakan. Cuma tinggal mahu merebus pasta sahaja. Ketika membuka bungkusan, aku terasa pelik. Ada yang tidak kena. Kenapa pasta spagetti ini berubah saiz diameternya? Sungguh halus...lalu ku amati tulisan pada bungkusannya....aduhai, aku terbeli angel hair. Ketika disajikan bersama kuah spagetti, rasanya tetap sedap cuma aku lebih suka makan kuah spagetti bersama pasta spagetti yang saiz diameternya besar dan juga fetuccine.
Kerana tidak mahu pembaziran berlaku, maka aku cuba mengguna baki yang ada dalam bungkusan untuk resepi versi goreng-gorengan. Hasilnya, disajikan angel hair goreng cili pedas buat santapan pagi kami berdua.
Diolah & Disajikan oleh: Azmie & VivieSumber rujukan: 1. Chef Hanieliza (Angel Hair goreng cili api)
2. RasaMalaysia (Indian Mee Goreng Recipe)
Apa yang anda perlukan:
- 1 pinggan besar pasta angel hair (siap direbus, ditos dan digaulkan dengan sedikit minyak zaitun)
- 1 mangkuk kecil isi kerang (siap direbus)
- 1 mangkuk kecil udang (dibuang sedikit kulit hadapan)
- 1 genggam hirisan kobis
- 3 sudu besar minyak (untuk menggoreng)
- 2 ulas bawang putih (dipotong halus)
- 2 biji bawang merah (dipotong halus)
- Hirisan cili merah (sebagai hiasan)
- Hirisan jus limau kasturi (optional)
- Sos & pes cili:
2 sudu besar kicap soya
2 sudu besar kicap manis
1/2 sudu kecil udang geragau (sangat halus)
Sedikit garam dan gula seandainya kurang masin ataupun manis (optional)
Apa yang anda perlu lakukan:
- Panaskan minyak di dalam kuali. Kemudian, tumis hirisan halus bawang putih dan bawang merah hingga naik aroma wangi
- Kemudian, masukkan pes cili kering bersama udang geragau halus, kacaukan sehingga pecah minyak.
- Masukkan kerang dan udang dan kacau sebati.
- Masukkan Pasta angel hair. Kemudian gaulkan sambil masukkan kicap soya dan kicap manis sehingga sebati.
- Akhir sekali, masukkan kobis taburkan sejemput gula dan kacau sehingga rata. Seandainya kurang masin, tambahkan garam...seandai rasa gorengan tersebut menepati citarasa, maka tutupkan api.
- Hidangkan panas-panas bersama hirisan cili merah beserta perahan jus limau kasturi.
4 comments:
nyaman.....
mesti cuba ni. tq share ye
Vi,
kadang2 akak pon tersilap beli antara angel hair dan spagheti. dulu2 tak tahu pon kewujudan angel hair...hihihi
sama la cm saya.haritu pun tersalah beli..terbeli angel hair..hihihi
~fafad kesatria baja hitam =) ~
Post a Comment